Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Pusat Kejiranan Presint 9
Kompleks Pusat Kejiranan Presint 9 mula beroperasi sejak 2008. Kompleks ini menyediakan kemudahan seperti bilik serbaguna, dewan serbaguna, gelanggang badminton, tenis, dan squash, gimnasium, kolam renang, amfiteater, dan padang permainan. Kira-kira 700 orang berkunjung ke Kompleks Kejiranan Presint 9 setiap hari untuk menggunakan kemudahan sukan dan riadah yang disediakan di situ. Jumlah itu bertambah kepada ribuan pengunjung menjelang Sabtu dan Ahad, terutama apabila orang ramai mengadakan majlis keramaian yang diadakan di Dewan Serbaguna. Kompleks Kejiranan itu menjadi kunjungan ramai kerana ia menyediakan kemudahan sukan dan riadah serta sosial bertaraf dunia untuk komuniti setempat. Dewan serbaguna yang disediakan di kompleks itu boleh memuatkan lebih 500 orang dan keutamaan untuk menempah serta menggunakannya diberi kepada penduduk dan pekerja di Putrajaya. Pada hujung minggu pula, kompleks ini mengadakan acara senamrobik yang dibuka percuma kepada penduduk Putrajaya. Kompleks Kejiranan ini juga mempunyai bilik gimnasiumnya yang dilengkapi dengan peralatan asas untuk aktiviti riadah dan boleh menampung 20 orang. Ia juga mempunyai kolam renang Perempuan dan Lelaki yang dibuka empat kali sehari iaitu jam 9 hingga 11 pagi, 1 hingga 3 petang, 5 hingga 7 petang dan 8 hingga 10 malam. Manakala, kolam renang kanak-kanak pula dibuka sepanjang masa. Bagi yang hendak menjalankan kegiatan berkumpulan, kompleks ini juga menyediakan bilik amfiteater. Selain kemudahan sukan dan riadah, kompleks itu juga menyediakan perkhidmatan jalur lebar, surau dan tempat letak kereta. Kompleks Kejiranan Presint 9 beroperasi setiap hari mulai jam 9 pagi sehingga 12 malam.
Medan Selera Presint 9
Medan selera ini terletak berhampiran dengan Kompleks Pusat Kejiranan Presint 9, Putrajaya. Kemudahan yang disediakan adalah kedai makan yang menjual pelbagai jenis makanan dari lauk-pauk, ala thai, western dan sebagainya. Selain itu, medan selera ini juga menyediakan tempat letak kereta berhampiran dan tempat letak kereta berbumbung. Medan selera ini beroperasi 7.00 pagi sehingga- 11.00 malam. Harga makanan serta minuman yang dijual juga adalah berpatutan. Selain itu, kebanyakan gerai makan disitu telah mendapat Penarafan Gred yang terbaik. Pengunjung serta pelancong yang letih seharian beriadah di Kompleks Kejiranan Presint 9 pastinya akan mengunjungi Medan Selera ini kerana ia berhadapan dengan kompleks berkenaan.